Pernahkah anda, tika bertandang ke majlis akad seseorang, anda melihat mempelai lelaki mengalirkan air mata selepas ijab dan qabul. Adakah bagi anda ia adalah sangat pelik?...Adakah air mata seorang lelaki amat sukar untuk dikeluarkan?...Namun ada juga sesetengah lelaki langsung tidak ada tanda-tanda mengeluarkan air mata, malah terus tersenyum.
Sebenarnya, lelaki yang mengalirkan air mata ini, adalah lelaki yang memikirkan akan tanggungjawab yang terpaksa dia pikul setelah menjadi seorang suami, samada dia boleh menjalankan tanggungjawabnya terhadap keluarga atau tidak. Tanggungjawab merupakan satu AMANAH atau BEBAN dan TUGASAN yang mesti kita ‘tanggung’ di dunia, MESTI kita ‘jawab’ apabila kita ‘disoal’ di hadapan Allah SWT di yaumil mahsyar kelak.
Sekalipun badai ujian kehidupan ada kalanya begitu dahsyat, tetapi kita akan teruskan juga demi satu amanah dan tanggungjawab. Sebagai contoh, kita wajib sedar bahawa menjadi seorang suami mahupun isteri bukan hanya untuk menikmati keseronokan dan kemanisan yang dingini oleh fitrah setiap manusia tetapi yang lebih utama, berkahwin itu adalah anugerah dan amanah Allah SWT.
Tip untuk rasa bertanggungjawab dalam rumahtangga
1. Kenangkan selalu bahawa isteri atau suami kita ialah milik Allah SWT, bukan hak milik kita.
2. Dalam apa jua perselisihan, carilah di mana kedudukan syariat dalam hal itu.
3. Sentiasa bermuzakarah dalam membuat keputusan.
4. Sering melakukan solat Istikharah dan solat Hajat dalam menghadapi sesuatu ujian.
5. Bayangkan pertemuan yang indah dengan semua anggota keluarga di syurga nanti apabila masing-masing bertanggungjawab dengan perintah Allah.
6. Takutkan neraka dan bimbangkanlah seksa-Nya jika mengabaikan tanggungjawab dan amanah-Nya.
7. Bila suasana terlalu sukar, bisikan di hati : Ini semua sementara, pertolongan Allah sudah dekat…
Perkataan amanah ini perlulah selalu diletakkan di dalam minda bahawa bukan perkara kecil dalam membina daulah islamiyah yang terkecil dalam masyarakat,iaitu keluarga. Ilmu memainkan peranan dalam menjalankan amanah sebagai suami, dan juga seorang ayah. Seorang suami atau ayah, perlulah punyai matlamat kemanakah hala tuju yang ingin dibawa olehnya dalam kehidupan berkeluarga ini.
Sama ada mahu membawa keluarga ke syurga atau ke neraka?
Mahu memberikan kemewahan dunia yang sementara dan berpoya-poya selagi nyawa masih ada?
Mahu menjadikan anak-anak dan isteri sebagai perhiasan dunia semata atau sehingga ke dalam syurga?
Jika mahu dibawa ke syurga, bagaimana caranya, apakah sudah ada?
Matlamat ini perlulah disematkan seboleh-boleh sebelum perkahwinan dilangsungkan , atau selepas bergelar suami.
Jika sudah terlajak, masih boleh diperbetulkan matlamat ini, selagi nyawa dikandung badan.
Dalam menjalankan tanggungjawab sebagai suami, sifat istiqamah atau berterusan dalam melakukan amalan sangat-sangat menjadi titik penting dalam menjaga keharmonian dan juga kesan didikan kepada isi keluarga. Jika seorang suami atau ayah, tidak istiqamah dalam perbuatannya, manakan mungkin dia akan menjadi uswah (ikutan) terbaik bagi isteri dan anak-anaknya….Jkzl…
Sekadar perkongsian…untuk suami, bakal suami dan sebagainya…
Comments