Adik-adik kasih dan sayang, sedikit tinta ini adalah untuk kita berkongsi apa yang telah berlaku sepanjang 28 jam.
Pertama sekali, abang menadah kesyukuran kepada Allah S.W.T, kerana telah mengizinkan abang untuk turut serta bersama adik-adik kasih dan sayang kawasan Bukit Beruntung, Hulu Selangor walaupun dalam keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan.
Sesungguhnya, abang sangat gembira bertemu kalian semua, bertemu para fasilitator yang lain dan masyarakat kariah Masjid As-Salam, Bukit Sentosa. Inilah salah satu sumbangan KRJ kepada masyarakat setempat dan insyaAllah, ia akan diteruskan melalui program-program amal sebegini bagi memberi dan menerima segala sumbangan buah fikiran dalam kita mencari Redha Allah.
Adik-adik kasih dan sayang, penglibatan abang-abang / kakak-kakak fasi adalah untuk membantu adik-adik. Kami tidak mengharap apa-apa habuan dari adik-adik, apa yang kami mahu, adik-adik sentiasa diingati dan disayangi. Apa yang penting, kita sentiasa bersama-sama berusaha mencari hakikat kehidupan sebagai seorang Muslim. Ingatlah adik-adik kasih dan sayang, walau kita bukan dari keluarga yang sama, tapi kita adalah saudara, kita adalah adik beradik. Kami sayang adik-adik, kasih dan sayang semua.
Deraian tangisan kekesalan mengiringi kita semua, kita alpa pada keindahan dunia, kita alpa pada tangungjawab kita sebagai hamba, kita alpa akan tanggungjawab kita terhadap ibu, terhadap ayah, terhadap rakan dan sahabat. Abang juga mengakui, abang masih jauh dari Allah, abang juga takut, jika tidak mendapat syafaat dari Rasulullah. Oleh itu adik-adik kasih dan sayang, kita kena kembali ke jalan Allah, kita kena berpegang pada tali Allah. Kita perlu menghayati tujuan penghidupan kita…
Melihat masalah remaja yang kian meruncing, kita perlu berusaha dan bersedia untuk menepis segala dugaan ini, apa yang abang harapkan dari adik-adik kasih dan sayang dan juga diri abang sendiri, kita cuba jauhkan diri kita daripada segala pengaruh maksiat yang tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada kita, malah ia mengundang kepada kesan buruk dalam masyarakat kita.
Doa abang semoga program ini dapat memberi impak yang positif pada diri kita, marilah kita bersama berganding bahu membanteras masalah sosial di kalangan remaja. Janganlah kita bersama dalam permasalahan tersebut, tetapi kita berusaha menyedarkan masyarakat di sekeliling kita. Tanggungjawab di bahu kita, kitalah yang perlu menggalasnya.
Salam Sayang…Jzkl.
Comments