Skip to main content

Pengaruh Didikan Keluarga Penting Untuk Pembangunan Minda Dan Kesejahteraan Emosi Anak-Anak. Sejauhmanakah Kebenarannya?

Oleh :

Muhammad Arif Bin Mat Saat

Emel : arif@jpphb.upsi.edu.my

Abstrak

Seorang anak adalah individu tersendiri yang bergantung kepada kepada ibu bapa, datuk, nenek, adik-beradik dan ahli keluarganya yang lain dalam proses pembangunan minda dan kesejahteraan emosi mereka. Didikan yang sempurna oleh keluarga akan menjadikan anak-anak seorang insan yang berpotensi minda dan sejahtera emosinya. Ramai kanak-kanak dan remaja gemar mencuri, ponteng sekolah, dan melakukan perkara yang jahat semata-mata ingin menarik perhatian ibu bapa mereka. Masalah anak jenis ini lebih merupakan satu kesan sampingan yang teruk akibat didikan keluarga yang kurang mengambil tahu akan anak mereka sehingga mereka merasakan diri mereka diketepikan. Oleh itu, saranan menerusi literature kitab-kitab Islam akan digunapakai untuk menjawab persoalan yang timbul. Di samping itu, kertas kerja ini juga akan melihat sejauh mana didikan keluarga dapat menpengaruhi pembangunan minda dan kesejahteraan emosi anak-anak.

Kata kunci : Didikan Keluarga, Minda, Emosi, Anak-anak

Pendahuluan

Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan isu permasalahan yang melibatkan sesebuah institusi kekeluargaan sehingga menyebabkan gangguan terhadap perkembangan minda dan kesejahteraan emosi anak-anak. Tugas sebagai ibu bapa bukanlah mudah, terutama di zaman sains dan teknologi, zaman manusia mengejar kemewahan dan kebendaan. Masa dan zaman akan berubah, namun manusia tetap sama iaitu dilahirkan dalam keadaan tiada seurat benang pun dan berakhir di liang lahad.

Tambahan pula, pengabaian terhadap anak-anak yang kian meruncing di negara kita disebabkan oleh kesibukan ibu bapa dalam mengejar profesion masing-masing sehinggakan mereka terlupa akan tanggunggjawab dalam mendidik anak-anak. Di samping itu, kes-kes perceraian ibu bapa yang semakin meningkat turut memberikan kesan terhadap minda dan emosi anak-anak. Ibu bapa yang berjaya menjadi cemerlang melahirkan generasi cemerlang kerana ibu bapa adalah guru pertama kepada anak-anak. Apabila ibu bapa gagal menjadi cemerlang, mereka bukan sahaja gagal menjadi ibu bapa yang baik dan sempurna, malah melahirkan anak-anak yang tidak berilmu dan berwawasan.

Sepatutnya ibu bapa perlu sedar tentang pentingnya pengaruh mereka dalam membangunkan minda dan kesejahteraan emosi anak-anak. Lantaran itu, mereka haruslah peka dan berusaha bagi melahirkan anak-anak yang mampu mempertingkatkan konsep kendiri dan mempengaruhi dalam pembentukan sahsiah dan personaliti anak-anak.

Sorotan Literatur

Menurut Prof. Dr. Mohd Yusof Hassan, minda merupakan mahkota istana nikmat dari Allah di mana minda ialah “the mind” yang berkaitan dengan fungsi dan proses pemikiran manusia. Kehebatan otak dan minda yang mengangkat martabat sesuatu bangsa. Bangsa yang maju adalah bangsa yang hebat mindanya manakala bangsa yang mundur adalah sebaliknya. Minda yang dibentuk dengan baik dan sempurna akan menjadikan seseorang anak itu insan yang hebat. Ini kerana minda adalah pencetus segala perbuatan dan tindakan yang akan dilakukan oleh seseorang individu itu. Jika minda dibangunkan di dalam persekitaran keluarga yang hebat, maka anak yang terhasil juga adalah anak yang hebat. Begitu juga dengan kecenderungan dan minat seseorang, adalah berpunca dari minda. Jika dididik minda anak-anak ini mengikut kecenderungan minat mereka, maka mereka akan sentiasa mendatangkan kebanggaan kepada ibu bapa mereka.

Setiap minda manusia berfungsi sebagai alat penyiar untuk memancar getaran jalan fikiran manusia. Sama seperti alat pemancar dan penerima radio, minda menerima getaran jalan fikiran yang dialurkan oleh minda orang lain. Imaginasi dan kreativiti merupakan ’alat penerima’ dari pada minda yang menerima jalan fikiran dari orang lain. Imaginasi merupakan alat perantaraan komunikasi di antara jalan fikiran atau dengan tempat yang dapat diterima melalui rangsangan pemikiran itu. ( Imran Jafar, 1993 ).

Emosi pula secara umumnya bermaksud perasaan. Manusia adalah golongan benda hidup yang mempunyai perasaan yang tinggi dan paling halus. Emosi boleh juga dilihat melalui ‘ bahasa badan ’ atau gerak geri seseorang. ‘ Bahasa badan ’ adalah pergerakan badan seperti postur, gerak badan dan ekspresi wajah. Misalnya, otot-otot muka mengerut dan mengecut dalam pelbagai bentuk untuk memberi gambaran muka yang sedang tersenyum atau menyebabkan biji mata terbeliak semasa dalam ketakutan. Pelbagai ekspresi air muka ini juga merupakan salah satu tatacara komunikasi antara satu sama lain ( Kasmini Kasim, 1998 ). Emosi merupakan tabiat semulajadi yang menghiasi sifat manusia seperti marah, benci, rindu, sayang, sedih, gembira dan sebagainya. Kalau negatif sifatnya, maka kesannya juga akan negatif sekiranya tidak ditangani dengan baik.Kalau positif sifatnya, maka ia akan membahagiakan hidup kita ( Harun Arrasyid Hj. Tuskan, 2005 ).

Secara amnya, emosi adalah pelbagai perasaan yang ditunjukkan pada proses fisiologi dan psikologi seseorang manusia. Ia berlaku secara sedar dan juga mungkin tidak disedari. Hasil daripada peristiwa luaran, menyebabkan seseorang bertindak balas dan berlakulah perubahan pada denyutan jantung dan tekanan darah dalam system pernafasan. Perubahan inilah yang melahirkan keadaan emosi yang tidak menentu seperti takut, gementar, terkejut, menangis dan sebagainya.

Emosi manusia berkait rapat dengan soal kekuatan serta dorongan minda manusia. Minda yang dirangsang akan berfungsi lebih baik. Akibat dorongan emosi, jalan fikiran akan dapat meningkatkan daya kerja dan fungsinya sehingga daya imaginasi menjadi lebih peka terhadap idea-idea. ( Imran Jafar, 1993 ).

Menurut Craig ( 1976 ), perkembangan adalah sebagai satu bentuk perubahan pada struktur, pendapat dan tingkahlaku individu. Ia terjadi hasil daripada fungsi biologi, faktor pemakanan dan pengaruh alam sekitar. Perkembangan juga merupakan perubahan yang bersifat kualitatif, iaitu sifat perubahan yang tidak diukur secara kuantitatif, iaitu sifat perubahan yang tidak dapat diukur secara kuantitatif, tetapi boleh dilihat dengan membandingkan sifat terdahulu dengan sifat yang sedang terbentuk. Dengan kata lain, perkembangan boleh juga dianggap sebagai satu proses di mana individu itu mencapai kematangan, pengukuhan dan kestabilan.

Justeru itu, perkembangan minda dan emosi adalah bersifat berterusan iaitu bermula pada peringkat bayi hinggalah ke akhir hayat. Jadi, semakin umur meningkat semakin banyaklah proses perkembangan yang dilalui oleh seseorang. Perkembangan minda dan emosi yang dimaksudkan ialah dari segi ketajaman pemikiran dan kemahiran membuat sesuatu keputusan. Biasanya proses perkembangan berlaku pada diri seseorang mengikut urutan tertentu, iaitu daripada perbuatan mudah kepada susah. Sebenarnya perkembangan dan pertumbuhan seseorang mungkin tidak sama diantara satu dengan yang lain. Ada yang cepat sampai ke tahap maksimum dan ada pula yang menurun. Ini semua bergantung kepada kaedah dan cara yang digunakan untuk membentuk minda dan emosi seseorang itu.

Punca dan Kesan Masalah Emosi

Mengikut Bandura ( 1959 ), keluarga yang mengalami konflik menggalakkan remaja menjadi agresif, suka bermusuhan dan sentiasa bergolak. Sosialisme remaja menjadi lemah dan tekanan meningkat hasil hubungan ibu bapa yang berasaskan penggunaan kuasa. Selain itu, penderaan terhadap emosi juga merupakan satu masalah. Penderaan emosi berlaku apabila ibu bapa atau penjaga gagal memberi kasih sayang dan penjagaan secara berterusan, sering mengancam mengutuk dan / atau menjerit kepada anak. Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak hilang keyakinan, harga diri dan menunjukkan tingkah laku cemas dan / atau pengasingan diri sehingga terganggu kesihatan mental mereka ( Thompson & Kaplan, 1996 ). Penderaan emosi terhadap kanak-kanak dapat dikesan melalui kelainan dalam perkembangan diri terutama sekali pada personaliti mereka ( Kasmini Kasim, 1998 )

Secara umumnya, penderaan emosi yang berlaku secara berasingan dan primer adalah sebanyak 11% daripada dua juta kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan di Amerika Syarikat ( American Humane Association, 1998 ). Mengikut statistik yang dikeluarkan, di Malaysia, terdapat 1.1% ( 2 kes ) daripada 184 kes penderaan kanak-kanak yang dikenalpasti pada 1996 oleh kumpulan ‘ Suspected Child Abuse and Neglect ( SCAN ) ’ sebagai kes penderaan emosi primer ( Hospital Kuala Lumpur, 1996 ). Jika penderaan emosi diambil kira sebagai penderaan yang berlaku bersama-sama dengan jenis penderaan lain, terutama penderaan fizikal dan seksual, maka bilangan kes penderaan emosi adalah lebih tinggi.

Kes penceraian juga dianggap sebagai penderaan emosi. Ini kerana kanak-kanak yang terlibat sentiasa berada dalam ketakutan sehingga menyebabkan perkembangan mental dan kognitif mereka terjejas serta terdapat pula perubahan yang ketara pada tingkah laku mereka ( Kasmini Kasim, 1998 ).

Capaian dari kertas kerja yang dipersembahkan sebagai syarahan perdana jawatan Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia pada 5 September 1998 di Auditorium, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia capaian dari http://www.penerbit.ukm.my/emosi.pdf ( capaian pada 9 Oktober 2006 )

Hasil penyelidikan mengenai masalah kesihatan mental kanak-kanak adalah berpunca dari faktor keluarga dan dalaman seseorang. Antara faktor dalaman termasuklah tabiat kanak-kanak, hubungan sosial yang diterima, dan peniruan gaya hidup. Faktor keluarga termasuklah budaya hidup yang negatif, hubungan anak-ibubapa, konflik dalaman, kesihatan mental ibubapa dan taraf hidup ibubapa ( Teoh Hsien-Jin, 2004 ). Selain itu, hubungan sosial yang hambar menandakan masalah kesihatan mental kanak-kanak ( Bouchard & Drapeau, 1991; Cowen et al, 1990 ).

Fungsi Keluarga

Apabila membincangkan peranan keluarga maka sasaran utama ialah ibu bapa. Menurut Thevenin, fungsi bapa lebih kepada penggalak, manakala fungsi ibu lebih kepada pengasuh atau pendidik. Sebagai penggalak, bapa cenderung untuk merangsang perkembangan sifat berdikari di kalangan anak-anak. Sebagai pengasuh pula, ibu cenderung untuk menawarkan hubungan intimasi dan responsif kepada anak-anak. Kedua-dua ini akan melahirkan anak-anak yang lengkap dari segi sosialnya.

Dr. Rozumah Baharudin juga pernah mengkaji tentang kesan perbezaan kedua-dua fungsi ini kepada proses perkembangan anak-anak. Beliau mendapati bahawa perbezaan fungsi itu memberi sumbangan berlainan kepada perkembangan anak-anak dan ia dilihat sebagai saling lengkap-melengkapi dan anak-anak memerlukan kedua-duanya.

Keluarga Melayu moden telah mengalami pembezaan struktur ( structural differentiation ) di mana sebahagian besar daripada fungsinya telah dijalankan oleh agensi luar keluarga. Walaupun fungsi tradisi keluarga tersebut dijalankan dengan lebih efektif oleh agensi luar, tetapi ia menimbulkan beberapa kesan distruktif kepada keluarga, hingga menjejaskan kedudukannya sebagai institusi utama dalam masyarakat. Dalam keadaan yang berubah, keluarga Melayu tidak lagi dapat bertindak sebagai satu unit ekonomi ( baik di peringkat pengeluaran atau di peringkat penggunaan ). Oleh kerana wujudnya kepelbagaian kegiatan ekonomi, anggota keluarga tidak lagi terlibat dalam pekerjaan yang sama. Pendapatan yang diterima daripada pekerjaan yang dilakukan itu juga berbeza.

Ini membawa kepada keadaan di mana keluarga tidak lagi dapat menggembleng semua tenaga anggotanya dalam proses pengeluaran, dan juga tidak lagi dapat menyatukan semua hasil dan juga pendapatan untuk dikongsi bersama. Kini suami dan isteri tidak boleh saling bantu dalam pekerjaan, begitu juga tenaga anak-anak tidak boleh digunakan dalam proses pengeluaran. Dalam konteks ini, didapati keluarga yang kecil ( dari segi saiz keanggotaan dan bilangan anak ) yang tidak membebankan dari segi ekonomi adalah menjadi bentuk yang popular. Akibat daripada menjalankan pekerjaan yang berbagai-bagai atau tidak terlibat dalam pekerjaan yang sama, maka perasaan harap mengharap serta bantu membantu di kalangan anggota keluarga, kian berkurangan. Jadi, tidak hairan jika kita selalu dengar bahawa pergeseran keluarga dan konflik rumah tangga sering berpunca dari keadaan yang disebutkan ini.

Selain fungsi ekonomi, keluarga masa kini juga tidak dapat menjalankan fungsi pendidikan dan sosialisasi seperti keadaan tradisi. Pendidikan yang dimaksudkan di sini bukanlah pendidikan formal seperti mana diajar di sekolah, tetapi sesuatu bercorak progresif melibatkan seluruh proses sosialisasi iaitu, “the process by which individuals learn the ways of a society or group so that they can function within it”.( Elkin dan Handel, 1972: 4 ).

Dalam soal ini kepentingan “ parenting ” tidak dapat dipertikaikan “ bagi perkembangan fizikal, intelek, emosi dan juga perkembangan sosial seseorang kanak-kanak ”, ( Popenoe, 1967 ). Tentang perkara ini, saya tertarik dengan kenyataan bekas Perdana Menteri ( Tun Dr. Mahathir Mohamed ) dalam salah satu ucapannya yang berbunyi, “ Meskipun sejak dulu lagi tanggungjawab keibubapaan tidak berubah, tetapi pelaksanaan tanggungjawab semakin hari semakin rumit dan canggih … Anak-anak hari ini terdedah kepada pelbagai ragam daya tarik faktor luaran yang kuat. Kelunturan kekuatan kekeluargaan semakin dirasakan, malahan secara psikologinya ia menjadi daya tolak untuk anak-anak terus berada di luar lingkungan keluarganya ”. ( Berita Harian, 15 Februari 1995 ).

Dalam keadaan kedua-dua ibu bapa bekerja, mereka terpaksa bergantung kepada agensi-agensi seperti “ baby-sitter ”, orang gaji dan sebagainya. Keadaan ini tidak akan menjaminkan yang kanak-kanak terdidik mengikut kemahuan ibu bapa. Nilai-nilai ( budaya ) yang didokong oleh keluarga tidak dapat diperturunkan kepada anak-anak dan dengan demikian akan wujud perbezaan-perbezaan tertentu dari segi amalan dan sifat-sifat pribadi di antara ibu bapa dan anak-anak tersebut. Keadaan seperti ini jika berterusan bukan sahaja akan merenggangkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak hingga menjejaskan perasaan kasih sayang antara mereka tetapi juga akan menggugat keutuhan sesebuah keluarga itu. Dalam sistem keluarga luas, perkara-perkara ini dapat dikurangkan atau sedikit sebanyak dapat dielakkan kerana anggota keluarga yang lain misalnya datuk, nenek, ibu saudara dan sebagainya turut membantu menjaga atau mengasuh anak-anak semasa ibu bapa mereka keluar bekerja.

Ekoran daripada pelbagaian kegiatan ekonomi juga, keluarga tidak lagi berfungsi melengkapkan anak-anak dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan lain-lain yang diperlukan oleh sektor pekerjaan di luar keluarga. Tugas ini diambil alih oleh institusi-institusi pendidikan, pusat latihan kemahiran dan sebagainya. Terdapat anak-anak yang keluar meninggalkan keluar pada peringkat umur paling muda ( 12 tahun ) untuk memasuki sekolah, maktab dan lain-lain. Apabila keadaan ini berlaku, ibu bapa juga tidak mempunyai kesempatan untuk melihat perkembangan fizikal, mental dan emosi anak-anak mereka, di samping mempastikan yang anak-anak itu terdidik dengan sempurna dikehendaki.

Oleh kerana telah biasa hidup “ bebas ” tanpa kongkongan keluarga, maka setelah tamat pengajian, mereka jarang tinggal di rumah, lebih-lebih lagi jika suasana di rumah “ membosankan ”. Oleh yang demikian, “ budaya lepak ” adalah salah satu daripada tindakan yang diambil oleh para remaja yang sedemikian. Begitu juga tindakan “ lari dari rumah ” yang pada hakikatnya merupakan tindakan ekstrim untuk lari atau mencari kebebasan dari kongkongan keluarga.

Peranan Keluarga dalam Mengawal Emosi Anak

Dalam usaha untuk menjinakkan emosi melalui latihan dan pengalaman, langkah yang pertama adalah melalui keluarga. Keluarga merupakan asas yang penting untuk pertumbuhan dan perkembangan kecerdasan emosi. Keluarga menjadi sekolah yang berkesan untuk latihan membentuk kemahiran Kecerdasan Emosi. Mengikut Goleman ( 1996, 189-190 ), keluarga adalah tapak yang menjadi tempat berseminya kemahiran Kecerdasan Emosi.

Sebelum anak lahir dalam keluarga, suasana rumahtangga adalah berbeza dengan selepas menerima kehadiran anak. Oleh itu, sebaik-baiknya ibu bapa sentiasa bersedia menjadi contoh terbaik supaya tidak ada gangguan pada emosi. Menurut Hughes dan Noppe ( 1991 ), menjadi ibu bapa secara fizikal, psikologi dan sosial mengubah cara kehidupan pasangan. Kehadiran anak memberi kesan kepada kehidupan pasangan. Dapat dikatakan, sikap dan tingkah laku kanak-kanak adalah cermin kepada tingkah laku dan sikap ibubapa. Ini kerana ibu bapa adalah orang pertama yang berhadapan dengan kanak-kanak dan kebanyakan masa kanak-kanak adalah bersama dengn ibu bapa mereka.

Semasa peringkat kanak-kanak, mereka mahu supaya diri mereka diterima sepenuhnya dan disayangi tanpa sebarang syarat. Mereka juga mahukan supaya kebolehan diri mereka diakui dan diberikan perhatian serta pengiktirafan terutama oleh orang yang signifikan dengan mereka iaitu ibubapa. Menurut Bowen ( 1978 ) dan Okun ( 1984 ), interaksi dengan ahli keluarga, sama ada yang hidup ataupun mati mempengaruhi kehidupan seseorang. Ibu bapa adalah individu paling kuat dalam mempengaruhi pembentukan asas sahsiah dan personaliti anak-anak.

Di dalam usaha untuk menjinakkan institusi keluarga yang maju ialah keluarga yang memiliki kasih sayang dan belas kasihan antara satu sama lain, serta institusi keluarga yang ahlinya menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam semua keadaan ( Siti Fatimah binti Abdul Rahman, 2005 ). Mencium anak merupakan salah satu cara mengungkapkan sebuah perasaan cinta dan kasih sayang. Rasulullah SAW bersabda : Orang yang mencium anaknya akan diberi Allah pahala kerana ciumannya itu akan menyenangkan hati anaknya akan digembirakan Allah di hari kiamat nanti ( ‘Uddah Al-Da’i : 79 ). Kasih sayang dan penjagaan secara berterusan oleh ibu bapa atau penjaga akan membentuk kesihatan mental, perkembangan diri dan personaliti mereka.

Ibu bapa perlu memberi peluang kepada anak-anak untuk bermain. Ini kerana kanak-kanak dan permainan memang tidak dapat dipisahkan, permainan dapat membantu dalam perkembangan emosi kanak-kanak. Melalui permainan, kanak-kanak berpeluang menenangkan emosi dan membuatkan mereka merasakan persekitaran tidak memberi tekanan kepada mereka malah permainan memberi peluang mempelajari tentang dunia lebih banyak lagi. Selain itu, ia juga membantu mereka menarik perhatian orang lain. Permainan bukanlah senantiasa menggembirakan , kadangkala ia membuatkan mereka berasa sedih, tetapi dengan cara ini mereka dapat mempertingkatkan kemahiran pada sesuatu perkara. Ia juga dapat membantu dalam prosess tumbesaran badan dan fizikal kanak-kanak.

Menurut Rousseu ( 1762/1947 ), beliau menyatakan bahawa sejak dilahirkan, proses pembelajaran yang dilalui dan pencapaian yang diperoleh adalah melalui penerimaan lima deria iaitu dengar, sentuh, rasa , lihat dan hidu. Apabila sistem deria terlibat secara aktif, maklumat sensori meresap dan disalurkan ke otak. Maka persepsi kepada satu-satu benda berlaku dan proses pembelajaran boleh berlaku. Menurut John Dewer ( 1852-1859 ), bermain menggalakkan proses pembelajaran melalui prinsip-prinsip belajar. Aspek keseronokan adalah hak setiap kanak-kanak.

Apabila anak berada dalam keadaan bersedih, ibubapa haruslah sentiasa berada di samping anak-anak. Ini kerana, kesedihan dan perasaan negatif lain sentiasa berlaku dalam masa yang lebih panjang daripada kegembiraan. Oleh kerana, kesedihan dan juga emosi negatif lain membawa kesan buruk, emosi-emosi seperti ini menjamin orang dewasa berada lebih lama dengan kanak-kanak ( Kagan, 1988 ).

Selain itu, ibu bapa haruslah memberi perhatian pada setiap perbualan anak-anak. Menurut Rogers ( 1962 ), setiap pendapat anak-anak perlu diberi perhatian dan jangan mentertawakannya walaupun pendapat itu tidak matang. Di samping itu, setiap pendapat yang baik perlu dipandang tinggi dan diberi sokongan. Ibu bapa perlu menggalakkan anak anak supaya mampu membuat pilihan dan keputusan.

Ibu bapa berperanan sebagai pengasuh emosi. Mengikut Gottman dan DeClaire ( ibid., 75 ), pengasuh emosi melakukan perkara perkara berikut :

1. Sedar tentang emosi anak-anak.

2. Menerima emosi sebagai satu peluang untuk mendekati anak-anak dan mendidik mereka.

3. Mendengar dengan penuh empati dan menerima perasaan kanak-kanak itu.

4. Membantu kanak-kanak itu mencari perkataan-perkataan yang sesuai untuk dilabelkan kepada emosi yang sedang dialami.

5. Menentukan sempadan dan pada masa yang sama mencari strategi-strategi untuk mengatasi masalah yang dihadapi.

Sungguhpun demikian, kemahiran yang ada pada pengasuh adalah penting untuk mendidik emosi kanak-kanak. Dengan kata lain, kemahiran yang ada pada pengasuh menjadi asas kepada pertumbuhan dan perkembangan awal kecerdasan emosi.

Pengaruh Didikan Keluarga dalam Menjana Minda dan Emosi Anak-Anak

Tambahan pula, anak-anak merupakan suatu amanah Allah yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Oleh itu menjadi kewajipan terhadap ibu bapa dan penjaga untuk memelihara mereka. Bukan sahaja memberi mereka makan dan minum, pakaian, kasih sayang, tetapi yang lebih penting lagi ialah memberi pendidikan dan ilmu pengetahuan. Melalui pendidikan ilmu dan akhlak yang mulia kepada anak-anak InsyaAllah kelak mereka itu akan menjadi anggota masyarakat Islam yang beriman dan sentiasa bertaqwa kepada Allah S.W.T. Cita-cita dan harapan tersebut tidak akan menjadi kenyataan sekiranya ibu bapa jahil dengan peranan ini. Apatah lagi gagal menjadikan diri ibu bapa itu sendiri sebagai seorang muslimin atau muslimat yang beriman dan bertaqwa kepada Allah S.W.T. Ibu bapa hendaklah terlebih dahulu menjadikan dirinya masing-masing sebagai contoh teladan yang baik dalam semua segi kepada anak-anak.

Islam telah menyediakan prinsip panduan kepada ibu bapa atau pendidik. Iaitu mengutamakan didikan akidah dan keimanan kepada anak-anak. Menanamkan keyakinan yang mendalam ke dalam hati dan pemikiran mereka agar dengan demikian akan menjadi perisai dan pengawal daripada mereka itu tercebur dengan gejala-gejala yang tidak sihat dan menyalahi hukum syarak. Hanya melalui didikan iman dan Islam, satu-satunya jalan yang akan meletakkan manusia kepada keredhaan dan pemeliharaan Allah di dunia dan di akhirat. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

" Inilah agama ( islam ) yang benar, yang lain adalah sesat, kerana jalan inilah satu-satunya menyampaikan kepada Allah dan syurga dan jalan yang lain adalah jalan kesesatan dan menuju kepada neraka. "

Kepentingan akidah kepada anak-anak dapat dilihat di mana Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya menyambut kedatangan bayi yang baru dilahirkan dengan seruan azan dan iqamah supaya suara yang menyusuk masuk melalui telinga bayi itu akan menembus hati nuraninya dengan kelimah-kalimah tauhid dan kalimah yang mengagongkan Allah S.W.T, saranan ini telah disebut di dalam suatu hadith riwayat al-Hakim. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

" Bukakanlah hati anak-anak kamu dengan ucapan kalimah yang pertama sekali iaitu dengan kalimah "Tidak ada tuhan yang lain melainkan Allah." "

Para pendidik dikehendaki mengulangi ajaran kalimah ini, makna dan falsafahnya benar-benar tersemat ke dalam jiwa anak-anak mentaati Allah S.W.T dan membiasakan diri dengan akhlak yang mulia. Seperti mana sabda Rasulullah s.a.w melalui hadithnya yang dikeluarkan oleh Ibnu Jarir daripada Ibnu Abbas yang bermaksud :

" Ajarlah anak-anak kamu untuk taatkan Allah dan takut kepada maksiat dan suruhlah anak-anak kamu melakukan apa yang disuruh oleh Allah serta menjauhi segala larangan-Nya, maka yang demikian itu akan memelihara mereka dan memelihara kamu daripada neraka. "

Berdasarkan hadith tersebut ia menjelaskan kepada kita betapa besarnya peranan ibu bapa dalam memastikan agar anak-anak mereka menjadi anak-anak yang soleh dan terpelihara daripada segala kemaksiatan. Anak-anak yang terdidik dengan ajaran agama yang cukup akan merasa malu untuk melakukan kemungkaran, akan merasa malu untuk berkhayal dan berpoya-poya. Hidup mereka akan terselamat dan tidak akan terdedah kepada fitnah keruntuhan moral dan akhlak yang bakal mendatangkan pelbagai penyakit masyarakat. Firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 28 bermaksud :

" Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu adalah menjadi ujian dalam kehidupan kamu, sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar. "

Inilah peranan pendidikan dan kesannya terhadap anak-anak dan generasi muda dewasa ini. Mereka belajar dari apa yang dilihat dan dengar di mana fenomena inilah yang akan mendidik mereka. Oleh itu seseorang yang digelar ibu bapa, guru, pemimpin di mana mereka haruslah dicontohi dan diteladani, tidak seharusnya " double standard " dalam apa juga bentuk dan tindakan mereka seharian. Di sekolah anak-anak diperingatkan tentang disiplin dan moral tetapi bagaiman di luar sekolah contohnya di padang permainan, di pusat membeli-belah dan di rumah. Mereka pula melihat sesuatu yang bertentangan dari apa yang mereka pelajari lalu menjejaskan pendidikan mereka sendiri. Sebab itulah tidak semestinya setiap anak yang berpelajaran dan tinggi akademiknya akan mempunyai jiwa yang terdidik. Keruntuhan akhlak anak-anak adalah mencerminkan kepada keruntuhan didikan ibu bapa, guru-guru, pemimpin dan masyarakat Islam seluruhnya. Inilah apa yang disabdakan oleh baginda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

" Setiap anak itu dilahirkan dengan keadaan bersih, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikan anak itu Yahudi, Nasrani atau Majusi. "

Agama Islam mementingkan aspek pendidikan dengan menyuruh para pendidik ( keluarga ) mengutamakan asas-asas yang benar pada anak-anak dengan memberikan hak-hak belajar ( terutama soal agama ), matlamat pendidikan dan perlaksanaannya, di mana Islam menghubungkan kedua-dua pihak dengan ikatan yang mempunyai satu tujuan dan matlamat. Justeru itu Allah Ta’ala telah berfirman dalam surah Al-Hijr ayat 92 hingga 93 yang bermaksud :

" Maka demi Allah engkau, sesungguhnya Kami benar-benar akan menanyakan mereka seluruhnya ( mengenai segala tanggungjawab ) terhadap apa yang mereka lakukan "

Maka atas dasar ini setiap ibu bapa wajiblah mengetahui pelbagai jenis pendidikan terhadap anak-anak serta matlamatnya yang mesti dihadapi dan dilaksanakan dengan betul. Antara pendidikan atau didikan yang disarankan menurut Al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. adalah :

1. Didikan Keagamaan

2. Didikan Kesihatan

3. Didikan Kemasyarakatan

4. Didikan Kejasmanian

5. Didikan Perasaan

6. Didikan Intelektual

Didikan Keagamaan

Pendidikan ini memerlukan ikatan anak-anak dengan agamanya bermula sejak kecil lagi dan mendidiknya daripada peringkat ini dengan asas-asas keimanan dan melatihnya sehingga dia memahami Rukun-rukun Islam yang terdiri daripada sembahyang, puasa, zakat dan haji. Islam mewajibkan ibu bapa menyuruh anak-anak mereka bersembahyang di kala usianya menjelang 7 tahun dan menyuruh memukul mereka sekiranya mereka meninggalkan sembahyang di kala usia mereka 10 tahun dan pada usia ini juga disuruh mengasingkan tempat tidur mereka ( tidak lagi bersama ibu bapa mereka ). Ini adalah satu cara pendidikan Islam yang tidak dipersetujui oleh Barat. Keadaan ini telah diperkukuhkan lagi dengan sabda Rasullullah yang bermaksud :

" Suruhlah anak-anakmu bersembahyang di kala mereka berusia 7 tahun dan pukullah mereka ( jika mereka belum lagi bersembahyang ) di kala mereka berusia 10 tahun; dan ( di kala itu ) pisahkan mereka dari tempat tidur . " ( Hadith riwayat Abu Daud dan Al-Hakim )

Sesudah itu hendaklah membimbing anak-anak kepada kesyumulan ( kesempurnaan dan lengkapnya ) sistem ciptaan Allah dan memberi kefahaman kepadanya bahawa ` aqidah, ibadah, akhlak, pembentukan Undang-undang Syara ’ dan hukum-hakam, tidak dapat dipisahkan antara satu dengan yang lain, di mana menjadi kewajipan untuk mematuhi perkara-perkara tersebut tanpa melampaui batas dan menggugatnya. Melalui pendidikan keagamaan seperti solat contohnya, merupakan satu-satunya jalan yang membawa kepada kebaikan. Dengan solat ini, anak-anak dapat merawat emosinya yang keras membatu atau di saat mereka dilanda kesusahan hati dan hidup.

Pembentukan konsep kendiri yang positif perlu dikaitkan dengan pendidikan agama dan moral. Tanpa pendidikan tersebut kanak-kanak tidak mempunyai pegangan hidup dan menyintai antara satu sama lain. Sebenarnya pendidikan ini mengajar kita supaya membuat baik dan tidak menaruh niat yang buruk di antara satu sama lain. Kita merasa lega kerana sistem pendidikan kita tetap menerapkan pengajaran ini sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun menengah. Kalaulah kanak-kanak menerima pendidikan ini sejak kecil lagi mereka akan mengamalkan nilai-nilai hidup yang sihat dan mempunyai konsep kendiri yang baik.

Didikan Kesihatan

Pemakanan anak-anak yang bersistematik dan mengambil berat tentang pemilihan makanan serta menerangkan pentingnya makanan berzat ( lengkap dengan vitamin yang diperlukan ) serta makanan yang dari sumber yang bersih, di mana apabila si anak telah menerima makanan dengan cara tersebut, bererti dia telah dibekalkan dengan bekalan makanan yang bermanfaat seterusnya menjana pembangunan minda dan kesejahteraan emosi atau jiwa anak-anak.

Pada usia yang masih kecil, pelbagai pendidikan asas dapat diberikan kepada anak-anak. Pengetahuan mengenai penjagaan kesihatan amat penting untuk membentuk keyakinan dan keselesaan kepada mereka. Mengajar mereka memberus gigi, mandi, manjaga tempat tidur dan bilik mereka, dan penggunaan alatan yang bersih bagi mengelakan anak-anak daripada mengamalkan cara hidup yang tidak bersih. Kepentingan menjaga kesihatan perlu ditekankan agar anak-anak dapat membentuk fizikal yang sihat dan seterusnya menjadikan minda mereka cerdas dan jiwa yang bersih.

Didikan Kemasyarakatan

Ibu bapa hendaklah membiasakan anak-anak dari kecil lagi agar menjaga adat dan adab kemasyarakatan yang utama atau unggul berteraskan " aqidah keislaman serta pengajaran-pengajaran Agama yang abadi ", antaranya ialah bersifat mengasihi, berbuat baik kepada jiran, meninggalkan perkara yang tidak berkenaan, adab di tempat awam, selalu mengekori bapa, menghormati orang lebih tua, adab dan tatasusila menggunakan jalan raya, cara membuang sampah dan banyak lagi sebagai pengajaran untuk pembangunan minda.

Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab dalam membentuk minda dan emosi anak-anak, perkara-perkara yang berikut hendaklah diawasi oleh ibu bapa iaitu :

1. Janganlah membiarkan anak-anak melakukan sesuatu dalam keadaan tersembunyi. Ini akan mengganggu pembangunan minda anak-anak.

2. Janganlah membiasakan anak-anak bersumpah, baik dalam keadaan benar atau dusta, kerana memelihara penghormatan terhadap Allah dan nama-Nya. Ia juga akan merosakkan minda anak-anak.

3. Ibu bapa hendaklah mengawasi rasuah di kalangan anak-anak yang mana mungkin akan merosakkan jiwanya.

4. Ibu bapa janganlah membeza-bezakan antara seorang anak dengan anak-anaknya yang lain kerana situasi ini akan mengganggu emosi anak-anak.

Didikan Kejasmanian

Ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak mempelajari senaman, contohnya seni mempertahankan diri. Selain ia menjana potensi dan kecerdasan minda, ia juga dapat memberikan keyakinan dalam jiwa anak-anak. Lantaran itu, ibu bapa hendaklah mengajar anaknya teknik menunggang kuda ( sekalipun berada di zaman teknologi ), teknik berenang dan memanah. Dalam konsep Gale Maleskey, di mana riadah ini dapat membantu dalam pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak. Di samping menghiburkan hati dengan permainan, secara langsung kanak-kanak dapat memperkaya perasaan dan pengalaman dalam membentuk minda dan emosi yang cemerlang. Selain arahan daripada junjungan besar Rasulullah s.a.w. sendiri supaya anak-anak Islam diajar kepandaian tersebut, Khalifah Umar bin Khattab ( yang juga bersumber daripada Nabi s.a.w. ) pernah berkata :

" Ajarilah anak-anakmu memanah, berenang dan menunggang kuda "

Ada banyak hadith yang menyentuh bab atau tajuk ini. Antara sabda-sabda Rasullullah s.a.w. ialah:

" Setiap suatu yang selain mengingati Allah adalah dia hiburan atau yang melalaikan melainkan 4 perkara, iaitu; (1) Memanah; (2) Mengajarnya menunggang kuda; (3) Bergurau-senda dengan isteri, dan; (4) Mengajarinya berenang. " (Hadith riwayat At-Tabarani)

Rasullullah s.a.w. ada bersabda, maksudnya :

" Awas! Sesungguhnya kekuatan itu ialah memanah ( pengiriman peluru ) " (Hadith riwayat Muslim).

Lantaran itu, menjadi kewajipan setiap ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka menjaga tubuh badan mereka dengan baik dan hendaklah mereka menceburi pelbagai sukan. Agama Islam tidaklah melarang dari bermain bola sepak selagi ianya tidak melampaui tenaga sehingga meletihkan badan dan melampaui masa sehingga melalaikan.

Didikan Perasaan

Perasaan anak mudah dibentuk dan pembentukan perasaan mereka sangat berpengaruh terhadap jiwa dan mindanya. Oleh kerana itu, pendidikan perasaan ini mempunyai agenda yang besar dalam membina dan membentuk keperibadian anak-anak. Apabila perasaan anak dididik dan dibina dengan seimbang, maka pada masa hadapannya ia akan menjadi anak yang lurus dengan memiliki emosi dan minda yang utuh. Namun jika tidak seimbang, pengaruhnya adalah sebaliknya. Anak-anak mungkin menjadi insan yang tidak mempunyai kekuatan emosi untuk menempuh masa depannya. Mereka akan menjadi manja dan tidak mampu memikul bebanan kehidupan dengan bersungguh-sungguh malah mereka mungkin menjadi insan yang keras perasaannya terhadap orang di sekelilingnya.

Persoalan yang wujud adalah bagaimana hendak membentuk perasaan anak-anak ? Pertama, melalui kucupan atau ciuman yang dikatakan mempunyai peranan yang sangat efektif dalam menggerakkan perasaan dan jiwa anak-anak. Ia juga sangat berkesan dalam mententeramkan gelombang amarah anak-anak. Bermain dan bergurau senda bersama anak-anak juga mampu mencorak emosi dan minda mereka. Seperti yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap Hussain di mana beliau bersama-sama bermain dan bergurau senda dengan Hussain. Dengan cara mengajak anak-anak bergurau-senda, bermain, dan meniru gaya keanak-anakan, akan tersemai perasaan yang tulus ke dalam jiwa mereka lantas mejauhkan sifat kering, keras dan tidak memberi hak kepada anak. Dalam satu sabda Rasullullah yang diriwayatkan oleh Ibn Asakir, iaitu :

" Sesiapa yang mempunyai anak kecil, hendaklah menjadi anak kecil terhadapnya "

Selain itu emosi dan minda anak-anak akan lebih sejahtera jika kelurganya memberi mereka hadiah atau bonus di atas kebaikan yang mereka lakukan, membelai kepala mereka, melayan anak-anak dengan mengajak mereka berbicara, bertanyakan akan keadaan mereka, dan mengajak mereka mengasihi anak-anak yatim.

Didikan Intelektual

Sejarah membuktikan bahawa tiada satu agama pun yang mendorong pemeluknya untuk memberikan pengajaran kepada anak-anak seperti agama Islam. Di dunia ini tidak ada pemikiran yang memberikan dorongan yang begitu besar sebagaimana dorongan yang diberikan oleh pemikiran Islam. Hal ini juga diakui oleh musuh-musuh Islam sekalipun.

Dr. Arthur Arbery, seorang profesor pengajian Islam di Universiti Camdrige menyatakan; ”Islam mempunyai peranan yang sangat mengagumkan bagi umat manusia, yang harus disyukuri. Kita punya banyak karya yang menjelaskan tentang sumbangan yang diberikan oleh kaum muslimin dalam memajukan kesenian, kesusasteraan, sains, mahu pun politik. Jelas sekali di mata kita, bahawa kaum muslimin itu tidak akan dapat merealisasikan semua penemuan jika bukan kerana sikap dan kemahuan mereka yang sangat tinggi untuk belajar dan mengajar serta hasil didikan keluarga yang kukuh. Keadaan inilah yang menjadikan mereka sangat istimewa sepanjang sejarahnya. Semua umat Islam sama-sama menyahut seruan Rasullullah s.a.w.

``Tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri Cina’’

Dalam melaksanakan didikan keilmuan dan pemikiran kepada anak-anak, pertamanya ibu bapa mestilah menanamkan rasa kecintaan kepada ilmu dan adab-adabnya. Jika kecintaan terhadap ilmu dan kecintaan untuk menuntutnya telah benar-benar tertanam di dalam jiwa dan fikiran anak-anak, maka dengan sendirinya ia terus menuntutnya dengan segala walaupun terpaksa menghadapi kesulitan dan terpaksa memikul bebanan sekali pun. Mereka juga akan rela untuk tidak tidur malam semata-mata untuk mendapatkan ilmu tanpa diperintahkan oleh keluarganya.

Antara didikan lain yang dapat mempengaruhi minda dan emosi anak-anak ialah mengajar anak-anak menghafal Al-Quran dan Hadith, bahasa arab dan asing, dan membimbing anak-anak mengikut kecenderungan minat mereka. Dengan cara ini, anak-anak akan lebih tekun belajar dan tidak menjadi tekanan kepada mereka untuk menuntut ilmu kerana mereka sudah mempunyai asas yang cukup baik. Dan mereka juga akan menjadi ilmuan yang hebat jika dapat menggunakan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai bahan rujukan.

Pembentukan Konsep Kendiri yang Positif

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pembentukan kendiri yang sihat di kalangan kanak-kanak. Antara perkara yang perlu dipertimbangkan oleh ibu bapa bagi memberi keberkesanan dalam pembentukan tersebut ialah seperti berikut :

Mencurahkan Perasaan Bangga

Perasaan bangga harus diberikan oleh ibu bapa kepada kanak-kanak yang melakukan atau membuat sesuatu yang berkesan. Dengan cara tersebut kanak-kanak akan merasa kepuasan yang mana hasil kerja mereka diberi pengiktirafan yang sewajarnya. Seandainya penghargaan tersebut tidak diberikan kemungkinan di hati kecil kanak-kanak akan merasa tertanya-tanya dan buruk sangka kepada orang yang menilai kerja mereka. Jadi sebelum perasaan negatif itu diluahkan, ibu bapa sepatutnya memberi perhatian yang sewajarnya kepada kanak-kanak.

Kemahiran Berkomunikasi

Di rumah kanak-kanak tidak terlepas dengan berkomunikasi. Walau bagaimanapun kita tidak menafikan memang ada di kalangan kanak-kanak yang pendiam, pemalu dan tidak berani bercakap dengan panjang lebar. Kalau begini keadaanya memang susah untuk melahirkan kanak-kanak yang dianggap mempunyai ciri-ciri konsep kendiri yang positif dalam aspek komunikasi, ibu bapa hendaklah memberikan perhatian kepada perkara-perkara berikut :

  1. Melatih kanak-kanak bercakap benar.
  2. Melatih kanak-kanak menghormati percakapan orang lain.
  3. Mengalakkan kanak-kanak berbincang dengan kawan-kawan sebaya.
  4. Menggalakkan kanak-kanak berfikir sebelum mengeluarkan kata-kata.
  5. Jangan menceritakan keburukan orang lain di hadapan kanak-kanak.
  6. Menggalakan kanak-kanak menyatakan sesuatu sekiranya menghadapi masalah
  7. Menggalakan kanak-kanak menjadi pendengar yang baik dan pandai menimbang sesuatu faktor sebelum disimpan di dalam fikiran.

Memberi Kemudahan dan Keperluan yang Sesuai

Kanak-kanak perlu diberi layanan yang baik, bukan sahaja dari segi teknik pengajaran tetapi juga dari segi kemudahan tempat belajar. Antara kemudahan yang dimasudkan itu adalah dari segi bilik tidur, permainan dan sebagainya. Seandainya kemudahan tersebut tidak diberikan kemungkinan kanak-kanak akan mengkritik kepada ibu bapa dan secara tidak langsung mereka tidak menyayangi ibubapa.

Bersikap Adil Serta Bertimbang Rasa

Keadilan dan konsep bertimbang rasa perlu diwujudkan di kalangan kanak-kanak. Oleh itu ibu bapa perlu bersikap adil dalam kebanyakan hal dan perlu bertimbang rasa. Kanak-kanak sebagaimana yang diketahui mempunyai perasaan iri hati antara adik beradik. Jadi ibu bapa harus bijak mengagihkan kasih sayang mereka.

Tidak Meletakkan Harapan yang Tinggi

Memang tidak dinafikan bahawa semua ibu bapa mengharapkan kanak-kanak mendapat keputusan yang cemerlang dalam sebarang peperiksaan. Walau bagaimanapun ibu bapa tidak boleh mempunyai harapan tinggi dan murni itu sepanjang masa kerana tahap serta pencapaian kanak-kanak adalah berbeza-beza. Begitu juga pencapaian kanak-kanak juga adalah tidak konsisten sepanjang masa. Kanak-kanak juga mempunyai perasaan rendah diri seandainya harapan yang diharapkan oleh ibu bapa mereka tidak dapat dicapai dengan sepenuhnya. Untuk itu ibu bapa perlulah membina satu sikap yang positif terhadap anak-anaknya iaitu dengan cara memberi rangsangan dan sokongan pengajaran. Kegagalan atau kesilapan yang terbuka dan senyuman yang mesra. Dengan cara tersebut , anak-anak apabila mereka berada di sekolah akan merasa yakin dan berani untuk berada bersama-sama dengan kumpulan yang pandai.

Rumusan dan Cadangan

Secara kesimpulannya, pengaruh didikan keluarga memberikan impak yang besar terhadap pembangunan minda dan kesejahteraan anak-anak. Hujah-hujah yang telah dikemukakan telah memberi gambaran yang lebih jelas bahawa tanpa didikan yang sempurna daripada ibu bapa, anak-anak akan lebih mudah terpedaya dengan kemewahan yang wujud hasil kemajuan yang pesat di sekeliling mereka. Tambahan pula, anak-anak lebih mudah terpengaruh dengan gaya hidup yang dipamerkan di hadapan mereka. Menurut Hidayati Yunisir (2002 : 55), “Hasil daripada pengamatannya, pancaindera penglihatan 75% mampu menyerap dan memahami keadaan.” Keadaan anak-anak yang hidup di kota mahu pun di desa kalau diperhatikan, setelah melihat rancangan kanak-kanak di TV, mereka cenderung ingin menirunya, baik gerakan mulut (oral), tangan, kaki mahu pun anggota badan yang lainnya.

Di samping itu, perkembangan minda dan kesejahteraan anak-anak haruslah seimbang antara duniawi dan ukhrawi agar kemajuan teknologi di sekeliling mereka tidak akan begitu mudah mempengaruhi jiwa mereka. Dengan didikan yang sempurna ini, anak-anak dapat memikirkan perkara yang baik dan buruk, seterusnya mentaati ibu bapanya yang melahirkannya ke dunia. Anak-anak akan dapat menghadapi teknologi dengan bijak tanpa menjadikan mereka seorang yang lalai dan lupa pada tanggungjawab mereka sebagai pemangkin Negara. Pendidikan yang sistematik dan teratur juga akan menjadikan anak-anak lebih menghargai kehidupan yang mereka lalui dan menjadikan mereka insan-insan yang sentiasa bersyukur.

Terdapat beberapa ciri yang perlu ada untuk membentuk sebuah keluarga cemerlang antaranya bertakwa, bekerjasama, saling memahami, sayang menyayangi dan bertanggungjawab. Konsep ketakwaan kepada Allah s.w.t harus dititikberatkan dalam setiap ahli keluarga iaitu taat segala perintah dan menjauhi segala larangan Allah s.w.t Bagi menghasilkan anak-anak yang berpotensi untuk Negara, ahli keluarga yang lain perlulah sama-sama mendidik anak-anak ini agar mereka membesar mengikut acuan yang baik. Keluarga perlulah menjadi tempat yang selamat dan selesa untuk pembesaran anak-anak. Ini kerana, persekitaran keluarga yang harmoni dan ceria dapat membangkitkan kesejahteraan emosi mereka. Mereka akan menjadi insan yang mempunyai nilai-nilai murni di dalam institusi kekeluargaan.

Selain itu dorongan dan kata-kata semangat juga dapat menjadikan mereka lebih kreatif dalam mengeluarkan idea yang bernas dan pandangan yang bijak. Anak-anak selalunya inginkan perhatian daripada keluarga, oleh itu ibu bapa perlulah menjadi pendengar yang setia dan bijak dalam menyelesaikan dan menjawab segala persoalan yang ditimbulkan oleh anak-anak. Seperti sabda Rasullullah s.a.w. yang telah diriwayatka oleh Ibnu Abbas, iaitu;

“Ajarilah anak-anak kalian. Mudahkanlah dan jangan engkau persulit. Berikan kabar gembira dan jangan membuat mereka lari. Jika salah seorang di antara kalian marah, maka hendaklah ia diam”

Keyakinan dan kebijaksanaan ibu bapa sedikit- sebanyak boleh dijadikan inspirasi kepada anak-anak untuk menjadikan ibu bapa mereka sebagai idola mereka. Ini kerana anak-anak mudah meniru tingkah-laku kedua ibu bapa mereka serta adik beradik mereka.

Jangan sesekali para ibubapa mendera anak-anak, kerana ini akan menjejaskan minda dan emosi anak-anak. Selain dari itu anak-anak akan berasa takut untuk berkomunikasi dengan ibubapa dan hasilnya mereka lebih suka memendam rasa apabila mereka berhadapan dengan masalah. Ini akan membebankan mereka. Sekiranya ibubapa sanggup mendengar dan menasihati mereka, permasalahan mereka akan meringan. Ibubapa juga seelok-eloknya mengekalkan kebahagiaan rumahtangga, dan sekiranya ada masalah dalaman, cubalah diselesaikan dengan cara yang baik tanpa berlaku pergaduhan dan penceraian. Minda anak-anak akan terjejas kerana mereka tidak dapat kasih sayang yang seimbang daripada ibubapa. Hasilnya, permasalahan sosial akan bertambah. Anak-anak lebih suka bergaul dengan rakan-rakan yang sebaya yang disifatkan sebagai pendengar yang baik. Sepatutnya, ibubapalah yang menjadi pendengar yang baik kerana mereka lebih matang dan berpengalaman.

Bibliografi

Baharuddin Ayudin, Mohd Saleh Lebar, ( 1999 ). Memahami Psikologi, Thinker’s Library Sdn Bhd.

Harun Arrasyid Hj. Tuskan, ( 2002 ). Kaedah Rawatan Mengatasi Gangguan Stress & Emosi Menurut Islam Zebra Editions Sdn Bhd

Sohaimi Abdul Aziz, Ph.D ,USM ( 1998 ). Membentuk Kecerdasan Emosi Kanak-Kanak Melalui Kesusasteraan Kanak-Kanak. Penerbit Universiti Sains Malaysia.

Mohd Sharani Ahmad, ( 2004 ). Psikologi Kanak-Kanak. PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Azizi Yahya, Jaafar Sidek Latif, ( 2005 ). Membentuk Identiti Remaja. PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Dr. Kasmini Kassim, (1991). Memahami Jiwa Kanak-Kanak. Syarikat S.Abdul Majed.

Zainal Madon, Mohd Sharani Ahmad, ( 2004 ). Panduan Mengurus Remaja Moden. PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Mohd Daud Hamzah ( 1994 ). Perkembangan Kanak-Kanak dan Perkembangan. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Dr. Kasmini Kassim ( 1998 ).Penderaan Emosi Kanak-Kanak ; Trauma Terselindung. Kertas kerja yang dipersembahkan sebagai syarahan perdana jawatan Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia pada 5 September 1998 di Auditorium, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia capaian dari http://www.penerbit.ukm.my/emosi.pdf ( capaian pada 9 Oktober 2006 )

Syaikh Ahmad Al-Qattan, ( 1998 ). Pendidikan Anak Yang Cmerlang Menurut Al-Quran dan As-Sunnah, Pustaka Ilmu.

Muhammad Nur Abdul Hafizh Suwaid, ( 2004 ). Mendidik Anak Bersama Nabi, Pustaka Arafah.

Ruzita Binti Mokhtar, (2000). Hijrah Membentuk Keluarga Cemerlang. [online] dari JAKIM web http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=486, ( capaian pada 1.10.2006 )

Siti Fatimah Abdul Rahman, (2002). Usaha Mencari Bapa Mithali. [online] dari Institut Kefahaman Islam Malaysia ( IKIM ) web http://www.ikim.gov.my/bm/media/2002-utusan/ar02-um31.htm (capaian pada 1.10.2006)

Imran Jafar, (1993). Minda Punca Kejayaan. Golden Books Centre Sdn. Bhd.

Comments

Popular posts from this blog

Waspada Pada "4S" dan "5F"

Zionis Yahudi dan sekutunya sejak dahulu kala tak habis-habis dan tak lelah mendangkalkan aqidah dan keimanan seseorang dengan beberapa hal berikut ini. Memasuki era global dan zaman moden seperti saat ini, Umat Islam banyak dihadapkan dengan bermacam t e ntangan, perlawanan dan berbagai bentuk pengaruh yang dilakukan baik secara terang-terangan maupun sembunyi-sembunyi oleh para musuh-musuh Islam. Juga berbagai macam penindasan yang di lakukan oleh orang-orang kafir secara biadab khususnya di daerah-daerah muslim yang majoriti . Namun ironisnya berbagai macam t e ntangan dan ancaman tersebut belum sepenuhnya mampu meny e darkan umat Islam untuk bangkit dari sebuah kepedulian, bahkan banyak di antara umat Islam melihat sebuah ke za liman dan penindasan yang dilakukan oleh orang-orang kafir dengan perasaan dingin. Benarkah nurani umat islam sudah banyak yang mati karena banyaknya pengaruh budaya yang diterap o leh orang-orang kafir? Wahai saudara-saudaraku bangunlah k era na di depan ...

PERANAN IBUBAPA DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK

“Apabila meninggal dunia seseorang anak Adam, maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua-dua ibu bapanya”. (Hadis Riwayat al-Bukhari) Betapa beruntungnya kedua-dua ibu bapa yang mempunyai anak-anak soleh yang dapat membahagiakan hidup mereka, bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat juga. Doa daripada anak-anak yang soleh tetap tidak terputus kepada ibu dan bapa mereka sekalipun kedua-duanya telah meninggal dunia. Tiada simpanan yang paling berharga dan kekayaan yang paling mahal nilainya untuk kehidupan dunia dan akhirat jika dibandingkan dengan anak soleh, apalagi jika dilengkapi dengan pendidikan dan didikan yang betul dan lengkap berlandaskan Islam. Terdapat empat kaedah asas untuk mendidik anak iaitu : 1- Didikan dengan menunjukkan contoh teladan Didikan dengan menunjukkan contoh teladan adalah antara cara yang paling berkesan untuk membentuk peribadi anak-anak dari segi akhlak, ...

Hai Mambang Tanah, Mambang Api, Mambang Asap…..

Kekuatan dan kekuasaan manusia jika masih menggunakan kuasa dari alam lain, selain kuasa Allah, ia tetap terbatas. Sehebat mana kepercayaan masyarakat terhadap kuasa tersebut, kuasa itu masih belum mampu menandingi keagungan yang Maha Pencipta segalanya, baik makhluk seperti jin mahupun manusia. Namun, masyarakat masih mempercayai kemujaraban dan kekuatan kuasa ghaib daripada memohon perlindungan Allah s.w.t. Jika ada dikalangan kita tersampuk, atau diganggu oleh makhluk lain, mulalah mencari penawar. Tidak salah mencari as-syifa’ tapi carilah yang betul terus kepada Allah, bukan dari makhluk ciptaan Allah. Bila sembuh penyakit, manusia mula mempercayai kaedah rawatan makhluk ghaib, sedar atau tidak kalian kita sekalian, itu hanyalah mainan musuh manusia yang mahukan kita tunduk dan patuh kepada godaan mereka, bukan kepada perintah Allah. Ingatlah tiada yang lain berkuasa melainkan Allah, Dia yang menurunkan penyakit dan Dia juga yang menyembuhkannya. Dan (ingatkanlah peristiwa) k...